Headline: Gema muzik indie
Publication: BH
Date of publication: Nov 21, 2009
Section heading: Sabtu
Page number: 12
Byline / Author: Oleh Fairuz Zaidan


FENOMENA muzik indie yang melakar impak tersendiri dalam industri hiburan tempatan nampaknya terus mencetuskan fenomena dalam arus muzik semasa.

Selepas disogok dengan genre muzik kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussein dan Yuna, peminat muzik tempatan tampak serasi dengan genre muzik indie apabila terus menyokong satu persatu pemuzik indie yang diketengahkan.

Sebagai usaha menyokong penggiat muzik indie, pertandingan muzik indie, Denim Music World diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pertandingan ini nyata menjadi pentas terbaik buat penggiat muzik alternatif itu mencipta legasi sendiri.

Dianjurkan jenama wangian Denim, pertandingan muzik indie Denim Music World membuka pentas buat penggiat muzik indie mencuba nasib dengan konsep pertandingan berbeza iaitu melalui laman web - sekali gus dinilai dan diundi pengguna internet.

Seperti dijangka, sambutan dari pemuzik indie cukup menggalakkan di mana lebih 100 penyertaan awal diterima dari seluruh negara. Daripada penyertaan awal itu, hanya 40 peserta penyertaan disenarai pendek sebelum diadili menerusi undian laman web di www.denimmusicworld.com.

Selama dua bulan, kualiti muzik serta keaslian lagu setiap pemuzik dinilai oleh pendengar yang juga memilih kumpulan muzik paling digemari melalui undian di internet.

Dengan tawaran RM25,000 sebagai nilai hadiah keseluruhan, pertandingan itu memberi impak besar apabila berjaya mencungkil banyak nama baru - sama ada pemuzik solo mahupun berkumpulan.

Dalam pertandingan itu, impak muzik berbeza kumpulan Marionexxes yang dianggotai empat anak muda Universiti Malaya mencuri tumpuan apabila menerima sebanyak 5,750 undian sekali gus merangkul kejuaraan utama.

Dianggotai oleh Abdul Wahid @ Piko (vokalis); Dino (drum); Tajudin (bass) dan Izham (gitar), Marionexxes yang mempertaruhkan dua lagu iaitu 8TV dan Greatest Expectation berjaya mengetepikan saingan hebat pemuzik lain untuk menerima ganjaran RM10,000.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh peserta solo Ady Suwardy dari Selangor yang memenangi sebanyak 4,075 undian secara langsung daripada pelayar internet. Ady yang juga penulis lirik dan deejay radio, pada masa yang sama turut bergelar pereka hiasan dalaman.

Mempertaruhkan lagu Beku dan Izinkanlah, Ady memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1,000 serta produk Denim bernilai RM2,000 selama setahun.

Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Lydias Diery dari Kuala Lumpur. Kumpulan anak muda yang mempertaruhkan lagu Masih dan Tiada Lagi Chenta turut memenangi wang tunai RM1,000 berserta dengan produk Denim bernilai RM2,000 selama setahun.

Sementara itu, Piko yang juga vokalis kumpulan Marionexxes, berkata idea pertandingan muzik di internet sesuatu yang cukup baru dan berbeza berbanding konsep pertandingan nyanyian sedia ada.

Beliau yang juga pelajar jurusan Ijazah Seni Reka Universiti Malaya (UM) berkata, jenis muzik serta impak nyanyian dipertaruhkan sepenuhnya untuk dinilai peminat menerusi undian di laman web.

"Alhamdulillah, kami berbangga dan bersyukur dengan kemenangan ini yang secara tidak langsung meletakkan perjuangan seni muzik Marionexxes diterima umum.

"Hadiah kemenangan ini akan digunakan untuk membuat klip video untuk lagu Tiger Malaya yang dijangka turut disiarkan di siaran muzik video tempatan dan antarabangsa," kata Piko yang mengetengahkan genre muzik kabaret serta elemen tradisional dalam merancakkan muzik.

Ditanya mengenai hala tuju kumpulan muzik itu, Piko menjelaskan perjalanan seni kumpulan itu mencapai satu lagi fasa baru apabila bakal menerbitkan lagu menerusi versi digital untuk laman web serta ton muzik.

"Kami turut menjangkakan akan menerbitkan album yang memuatkan 16 lagu selewat-lewatnya Februari tahun depan bagi memberi lebih banyak pilihan muzik dan alternatif buat pendengar dan pencinta muzik tanah air," katanya yang semakin banyak menerima undangan menjayakan persembahan muzik.

Pemenang kedua, Ady Sywardy sendiri tidak menyangka persembahannya mendapat sambutan hingga melayakkan menduduki tangga kedua keseluruhan dalam pertandingan Denim Music World.

"Seorang rakan memaklumkan saya mengenai pertandingan ini dan saya tidak keberatan untuk mencuba. Saya tidak sangka dua lagu nyanyian saya iaitu Izinkanlah dan Beku mendapat tangga kedua keseluruhan undian tertinggi," katanya.

Pencapaian kedua terbaik itu, bagi Ady cukup besar ertinya hingga membuatkan dia lebih berminat untuk meneroka lebih serius dalam industri muzik yang menjadi minatnya sejak dulu.

Mengulas mengenai Denim Music World, Penasihat SDL yang juga Ketua Denim, Andy Lamont, berkata semua pemenang dipilih melalui undian tertinggi di laman web, sekali gus menyaksikan ketelusan pemilihan untuk mencari pemenang yang layak.

"Peminat muzik menentukan segala-galanya. Sama ada suka atau tidak, peminat muzik inilah yang menilai kualiti serta jenis muzik yang terkesan untuk dipilih sebagai juara.

"Tiga jumlah undian tertinggi menerima hadiah utama, manakala lima penyertaan lain mendapat hadiah wang tunai RM500 serta barangan Denim bernilai RM500 selama enam bulan," katanya.

Kenali muzik mereka...

Marionexxes

* Ditubuhkan sejak 1997, band indie ini dianggotai seramai empat anak muda yang bercita-cita tinggi mahu membawa satu lagi dimensi muzik baru dalam arus hiburan tempatan.

* Bertapak dari Universiti Malaya (UM) kumpulan muzik ini dianggotai oleh Piko sebagai vokalis; Dino (drum); Tajudin (bass) dan Izham (gitar).

* Pelbagai liku dan cabaran sepanjang penubuhan Marionexxes nyata bukan penghalang bagi menempa nama sebaris kumpulan muzik dikenali ramai.

* Marionexxes mengetengahkan genre muzik kabaret dan elemen tradisional dalam merancakkan muzik.

* Mereka kini sedang mempersiapkan diri membuat klip video bagi lagu Tiger Malaya yang bakal disiarkan di siaran muzik video Channel V.

* Pada masa yang sama, pasukan ini bakal muncul dalam album penuh 16 lagu yang dirancang pada Februari depan.

* Aktiviti Marionexxes boleh diikuti menerusi laman web myspace dan Facebook.

Ady Suwardy

* Mula bergiat secara aktif sejak 2008, Ady menyanyi secara solo dengan mengetengahkan genre pop, r&b dan jazz dalam terma lagu nyanyian.

* Bagi penyertaan ke Denim Music World, Ady mengemukakan dua lagu iaitu Izinkanlah dan Beku.

* Mengakui muzik adalah minat serta hobi, Ady baru saja melancarkan album AP dengan tiga lagu yang dipasarkan pada 13 November lalu.

* Album AP Ady memuatkan lagu Izinkanlah, Izinkanlah (akustik) dan Beku.

* Pada usia 36 tahun, Ady bergelar pereka hiasan dalaman yang berpangkalan di Bangsar, Kuala Lumpur.

* Kelibat perjuangan muzik Ady boleh dikongsi menerusi laman web www.adysuwardy.com dan email adysuwardy@gmail.com.

Lydias Diery

* Dianggotai lima anak muda berjiwa muzik, kumpulan Lydias Diery mempertaruhkan muzik alternatif dan pop rock sebagai pendukung genre muzik mereka.

* Mula memasuki arena muzik sejak 2004, kumpulan muzik dari Kuala Lumpur itu memberi impak berbeza untuk penggemar muzik aliran baru.

* Lydias Diery dianggotai oleh Botaq, Asrap, Megat, Ejart dan Wan Reza.

* Hala tuju muzik kumpulan band ini diinpirasikan dari aliran muzik dibawakan kumpulan Lifehouse, Silverchair, U2, The Wannadies and Padi.

* Trademark kumpulan indie ini berteraskan kepada muzik gitar yang kuat, pergerakan dram dan bait lirik romantik untuk mencetuskan evolusi alternatif.

(END)





to purchase a PDF version of this article.


This document has been viewed 0 times.

Linked documents:

>home> search> purchase

 

 

 

SEARCH
SUBSCRIBE

TERMS OF USE

FAQ









New Straits Times   Berita Harian   Harian Metro


Copyright The New Straits Times Press - All rights reserved - Privacy policy